D.I.Y Cuci Kereta - Fasa 2 Merawat (Recovering)
i Rawatan cat (bagi kereta lama)
a. Cat pada kereta biasanya akan mengalami masalah seperti pudar atau tercalar. Cat akan pudar kerana faktor seperti bahan kimia, terdedah kepada embun dan cahaya matahari atau dimakan usia.
b. Cat yang pudar boleh dikembalikan kilatannya dengan melakukan ‘polishing’ dan ‘waxing’. Polishing merupakan proses menggilap kembali permukaan cat yang sudah hilang lapisan ’2K’. Bagi mereka yang tidak profesional biasanya bolehlah membeli polish yang tercatat ‘untuk cat lama’.
c. Kerja polishing akan lebih pantas jika anda menggunakan mesin. Jika tidak ada mesin maka bolehlah lakukan poslihing menggunakan span lembut dengan pergerakan membulat sehingga rata (elakkan daripada menggunakan span basuh pinggan kerana partikelnya agak kasar).
d. Biarkan seketika di bawah teduhan.
e. Proses seterusnya adalah ‘waxing’ iaitu melapis selapisan lilin khas pada permukaan cat supaya kelihatan lebih berkilat di samping melindungi cat asal daripada menjadi pudar. Lapisan ini boleh dilakukan dua minggu sekali dan boleh dilapis sehingga dua atau tiga lapisan.
f. Cat yang mengalami calar kecil boleh dirawat dengan menggunakan polish atau polymer sealant.
ii Rawatan cermin dan wiper
a. Cermin kereta yang tidak dijaga akan menjadi kelam dan kasar seterusnya boleh menjejaskan pandangan dan pemanduan. Pembersih cermin ada banyak dijual di kedai khusus untuk membuang kotoran dan gris. Cermin yang tidak dijaga boleh merosakkan wiper dan menyebabkan wiper perlu kerap diganti.
b. Cecair pencuci cermin biasanya didatangkan dengan bahan kalis air (water repellent) yang membantu pemanduan agar lebih jelas dalam keadaan hujan lebat.
c. Penggilap cermin (wiper) juga perlu dibersihkan daripada minyak supaya sapuan air lebih rata dan menghasilkan pandangan yang lebih selesa. Cecair pembersih wiper ini juga ada dijual di mana kita hanya perlu melurutkan cecair tersebut pada bahagian getahnya menggunakan kain bersih sehingga tiada lagi kesan kotoran. Jika anda mendapati kain yang dilurut pada wiper menjadi hitam walaupun sudah banyak kali dibersihkan, ini menunjukkan getah wiper anda sudah perlu ditukar.
iii Rawatan rim
a. Rim yang menggunakan kemasan cat perlu dijaga sama seperti anda menjaga bahagian cat badan kereta anda manakala rim kemasan logam perlu dijaga menggunakan bahan pecuci khas untuk rim. Ini kerana rim kemasan logam mempunyai sifat yang sensitif terhadap bahan kimia seperti asid yang boleh menyebabkannya bertompok dan recakan yang tidak rata.
Comments
Post a Comment