D.I.Y Cuci Kereta - Fasa 1 Membersih (Cleaning)
i. Cucian Luar
a. Pancutkan air dahulu daripada hos selama 15 saat bagi mengeluarkan sisa-sisa klorin dan bahan kimia supaya tidak merosakkan cat.
b. Pastikan semua pintu dan cermin ditutup rapat
c. Pancutkan air pada bahagian kereta untuk membuang habuk dan pasir yang melekat pada badan kereta sebelum menggosok kerana pasir dan habuk keras boleh mencalarkan cat jika digosok.
d. Gunakan bahan pencuci khas untuk kereta dan jangan beli bahan pencuci murahan walaupun ada gambar kereta kerana ia berpotensi untuk merosakkan cat. Bahan pencuci beserta wax (wash and wax) juga boleh digunakan dan ia akan membuatkan cat kereta kelihatan lebih bersinar.
e. Gunakan span bersih dan cuci bermula daripada bahagian bumbung. Saiz span yang lebih besar akan mempercepatkan proses cucian. (jangan gunakan span untuk mencuci cat bagi tujuan lain).
f. Elakkan cuci di tengah panas kerana titisan air akan bertindak sebagai kanta yang boleh memfokus cahaya matahari terhadap cat.
g. Jangan biarkan sabun pada cat sehingga kering kerana bahan kimia pada sabun itu akan menjejaskan cat.
e. Lap menggunakan kain yang bersih dan tidak berbulu. Kain khas ini ada terdapat dijual di pasaraya dengan harga sekitar RM3.00 hingga RM7.00 sehelai. Pastikan tiada minyak atau pasir pada kain tersebut kerana ia akan merosakkan cat. Jangan gunakan kain pengelap cat kereta itu untuk kegunaan lain.
ii Cucian Enjin
a. Enjin merupakan bahagian yang paling sensitif dan pastikan anda mencucinya dengan berhati-hati. Bahagian elektronik seperti pendawaian, ecu, sensor dan sebagainya perlu dipastikan agar tidak dimasuki air. Jangan cuci menggunakan air pada tekanan yang kuat kerana bahagian palam pencucuh yang dimasuki air akan menyebabkan kereta tersenggut-senggut atau mungkin tidak dapat dihidupkan.
b. Bagi menghilangkan minyak atau gris pada enjin, kita boleh menggunakan bahan asas seperti minyak tanah dan sabun pencuci. (satu petua menarik daripada seorang tauke cuci kereta iaitu campuran sabun dan coca-cola pada amaun yang seimbang mampu menghilangkan kotoran degil pada enjin dan mengilatkan enjin).
iii Cucian Dalam
a. Cemaran dan kotoran bahagian dalaman biasanya adalah kesan terdiri daripada kotoran tangan, tapak kasut, air dan makanan. Mencuci bahagian dalaman tidak memerlukan air yang banyak. Anda memerlukan sedikit air sabun dan bilas menggunakan air bersih. Makanan yang terbiar tidak dibersihkan akan mengundang serangga seperti semut dan lipas (akibat adanya serangga itu, cicak juga mungkin menumpang sama kerana ada sumber makanannya).
b. Jangan menggunakan clorox atau agen peluntur.
c. Tinggalkan seketika dengan pintu terbuka untuk memastikan pengewapan berlaku dengan sempurna.
iv Cucian Tayar
a. Tayar merupakan bahagian yang paling terdedah dengan kotoran seperti minyak, tar, habuk, sisa lapik pad brek, lumpur, najis dan sebagainya.
b. Sabun yang digunakan untuk tayar perlu sesuai dengan rim anda. Rim yang bercat pelu menggunakan sabun yang sesuai untuk cat manakala rim kemasan logam boleh menggunakan sabun biasa.
c. Gunakan berus sabut untuk menyental kotoran degil.
v. Membuang kesan tar
a. Tar merupakan cemaran yang degil kerana sifatnya yang melekat dan berminyak. Bintik-bintik tar paling senang dicuci menggunakan minyak seperti minyak tanah. Ianya murah dan tidak merosakkan warna cat kereta kita (cubalah dulu, hasilnya pasti memuaskan).
Comments
Post a Comment